The BEST 2011

Bengkel Solat bersama Ustaz Ajmain dari Fakulti Tamadun Islam

JKM Day KTHO

Pameran Kelab Hikmah dan Jualan Al-Quran

Perhimpunan RIMBA

Berkelah bersama-sama adik-adik Tahun 1 di Air Terjun Gunung Pulai

IFTAR Kubra

Berbuka Puasa Bersama-sama Setiap Hari Khamis Dua Minggu Sekali

Kem Pemantapan Kelab Hikmah

Kursus Pengurusan Untuk Ahli-Ahli Kelab Hikmah

Blogroll


ShoutMix chat widget

Monday, December 12, 2011

Aku Tidak akan Berganjak Dari Pendirianku


SA’AD BIN ABI WAQQASH

Panahlah wahai Sa’ad… panahlah,
Allah menebus kamu dengan ayah
dan ibuku
[Muhammad s.a.w ketika
Peperangan Uhud].

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).  Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.  Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh).  Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan. (Luqman:  14-15)

Ayat al-Quran ini mempunyai kisah yang unik dan menarik.  Pertarungan antara perasaan yang saling bertentangan dalam jiwa seorang pemuda mentah.  Ia merupakan kemenangan kebaikan menewaskan kejahatan.  Kejayaan iman menumpaskan kekufuran.

Manakala hero kisah ini adalah antara pemuda yang berketurunan mulia.  Ibu bapanya dihormati.  Dialah pemuda bernama Sa’ad bin Abi Waqqash r.a..
*       *       *
Ketika cahaya kenabian terbit menyinari kota Mekah, Sa’ad bin Abi Waqqash masih di usia muda remaja.  Beliau memiliki jiwa yang lembut.  Sa’ad banyak berbakti dan amat mengasihi kedua ibu bapa terutama ibunya.

Meskipun begitu ketika umurnya mencapai 17 tahun. Beliau memiliki kematangan dan kebijaksanaan orang dewasa dan berpengalaman. 

Tidak sebagaimana mereka seusianya yang sibuk dengan berbagai jenis keseronokan, Sa’ad bin Abi Waqqash giat memahirkan dirinya dengan penyediaan dan membaiki panah.  Beliau berlatih memanah hinggakan seolah-olah sedang mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan saat-saat genting.

Sa’ad bin Abi Waqqash juga tidak senang dengan kefasadan akidah kaumnya dan situasi sekeliling yang rosak.  Hinggakan seolah-olah beliau menunggu-nunggu satu tangan yang perkasa, tegas dan penyayang yang dapat mengubah keadaan tersebut.  Tangan yang dapat menyambar dan menyelamatkan mereka daripada kegelapan.
*       *       *
Ketika beliau berada dalam situasi demikian Allah ‘Azza wa jalla sememangnnya ingin memuliakn seluruh manusia dengan tangan penyelamat ini.

Dia mengutuskan penghulu seluruh makluk Muhammad bin ‘Abdullah s.a.w….

Dalam genggamannya terdapat bintang Ilahi yang tidak akan padam iaitu Kitab Allah yang mulia.

Sa’ad bin Abi Waqqash segera menyahut seruan dakwah hidayah dan kebenaran tersebut.  Beliau merupakan lelaki ketiga atau keempat yang memeluk Islam.

Lantaran itu beliau sering mengungkapkan:  “Saya hanya menunggu tujuh hari untuk memeluk Islam apabila dakwah bermula.  Saya merupakan orang ketiga yang memeluk Islam.”

Rasullullah s.a.w. amat gembira dengan keislaman Sa’ad.  Lantaran beliau memiliki cirri-ciri kepintaran dan kejantanan yang menjadi petanda bahawa anak bulan ini akan mengambang penuh pada waktu terdekat.

Sa’ad bin Abi Waqqash berketurunan mulia dan leluhur terhormat.  Sesetengah para pemuda Mekah boleh jadi kepingin mengikuti gaya hidupya dan menelusuri tindakannya memeluk Islam.

Lebih daripada itu Sa’ad bin Abi Waqqash merupakan bapa saudara Rasulullah sebelah bonda Baginda.  Sa’ad berketurunan Bani Zuhrah dan ia merupakan keluarga kepada Aminah binti Wahb, bonda Nabi s.a.w..

Rasulullah s.a.w. sendiri berbanggan dengan pertalian kekeluargaan tersebut.  Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. duduk bersama-sama para sahabatnya.  Baginda melihat Sa’ad bin Abi Waqqash datang, lalu Baginda memberitahu:  “Ini merupakan bapa saudara saya (sebelah ibu)…  maka tunjukkanlah kepda saya siapa bapa saudara (sebelah ibu)nya.”
*       *       *
Namun keislaman Sa’ad bin Abi Waqqash bukanlah mudah.  Pemuda mukmin ini terpaksa berdepan dengan tribulasi keras dan berat.  Lantaran terlalu getir tribulasi tersebut, Allah telah menurunkan ayat al-Quran mengenai perkara tersebut…

Mari kita biarkan Sa’ad bin Abi Waqqash sendiri menceritakan pengalaman uniknya ini.

Cerita Sa’ad bin Abi Waqqash:  Tiga malam sebelum saya memeluk Islam, saya bermimpi saya lemas dalam kegelapan yang teramat sangat.  Ketika terkapai-kapai dalam gelombang kepekatan, tiba-tiba cahaya bulan menyinari saya.  Lalu saya mengikuti cahaya tersebut.  Saya lihat sekumpulan manusia di hadapan saya telah mendahului saya menuju kea rah bulan tersebut…

Saya melihat Zaid bin Haritsah, ‘Ali bin Abi Tholib, Abu Bakar as-Siddiq…

Lalu saya bertanya kepada mereka:  “Sejak bila kamu semua berada di sini?”

Jawab mereka:  “Baru sekejap”.

Apabila siang menjelang, saya mendapati berita bahawa Rasulullah s.a.w. menyeru manusia kepada Islam secara sembunyi.  Saya tahu bahawa Allah menginginkan kebaikan untuk saya.  Dia ingin mengeluarkan saya daripada kegelapan kepada cahaya dengan bantuan Baginda.

Tanpa berlengah lagi saya segera mencari Baginda s.a.w..  Akhirnya saya bertemu Baginda di lorong Jiyad, sebuah lorong bukit di Mekah.  Ketika itu Nabi s.a.w. selesai mendirikan sembahyang Asar.  Lalu saya memeluk Islam.  Tiada yang mendahului saya kecuali mereka yang saya lihat dalam mimpi sebelum ini.

Sa’ad menyambung kisah keislamannya, katanya:

Apabila bonda saya mengetahui keislaman saya, beliau amat marah.  Saya sememangnya sentiasa berbakti dan amat menyanyanginya.  Beliau datang bertemu saya lalu berkata:  “Wahai Sa’ad, agama apa yang kamu anuti ini sehingga kamu meninggalkan agama ibu bapamu?  Demi Allah, tinggalkanlah agama barumu ini, atau bonda tidak akan makan dan minum sehingga mati…  Hatimu akan hancur luluh dan sedih dengan apa yang berlaku ke atas bonda…  Penyesalan akan memakan dirimu disebabkan tindakanmu itu.  Orang ramai akan terus mencela kamu sepanjang hayatmu.”

“Jangan bonda bertindak sedemikian.  Saya tidak akan meninggalkan agama saya walau apa jua alasannya.”, tegas Sa’ad kepada ibunya berbaur rayuan.

Namun ibu tetap dengan ugutannya.  Beliau enggan makan dan minum.  Sehingga beberapa hari ibu tidak menjamah secubit makan dan setitis air.  Badannya menjadi kurus, bongkok dan lemah longlai.

Saya datang menziarahinya masa demi masa memujuknya agar menjamah sedikit makanan dan minuman.  Namun beliau tetap enggan walaupun berkali-kali dipujuk.  Malahan beliau terus bersumpah tidak sekali-kali akan makan dan minum sehinggan mati atau saya meninggalkan agama saya.

Apabila saya mendengar ketegaran pendiriannya, walaupun berkali-kali dipujuk, saya nyataka kepadanya:  “Wahai bonda, saya amat menyanyangi bonda.  Namun cinta saya kepada Allah dan Rasul-Nya lebih lagi berbanding sayang saya kepada bonda…  Demi Allah jika bonda memiliki 1000 nyawa dan ia keluar satu demi satu, saya tetap tidak akan meninggalkan agama ini.”

Melihat kepada kesungguhan saya, ibu pun mengalah.  Beliau akur dalam terpaksa untuk menjamah makanan dan minuman.  Lalu Allah Taala menurunkan firmannya tentang kisah kami ini:

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatnya – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka:  dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Luqman:  15)

*       *       *
Peristiwa keislaman Sa’ad bin Abi Waqqash adalah antara peristiwa yang banyak membawa manfaat dan kebaikan kepada Islam dan penganutnya.

Ketika peperangan Badar, Sa’ad dan adik beliau ‘Umair menampilkan perjuangan yang terbilang.  Walaupun ketika itu ‘Umair masih lagi kanak-kanak yang baru meningkat dewasa.  Tatkala Rasulullah s.a.w. memeriksa barisan tentera Islam sebelum berlakunya pertempuran, ‘Umair menyembunyikan dirinya di belakang tentera dewasa agar Rasulullah tidak melihatnya.  Beliau bimbang akan dikecualikan lantaran factor usianya.  Namun Rasulullah terpandang ke arah Umair lalu mengecualikannya.  ‘Umair menangis kerana ingin turut serta.  Akhirnya hati Rasulullah s.a.w. lembut dan membenarkannya. 

Ketika itu Sa’ad mara ke hadapan dan merasa gembira.  Beliau menyelempangkan tali pedang di leher ‘Umair lantaran beliau masih kecil.  Setelah itu kedua beradik berjihad dengan penuh bersungguh-sungguh di jalan Allah.

Apabila pertempuran tamat, Sa’ad kembali ke Madinah sendirian.  Manakala ‘Umair telah syahid di bumi Badar.  Sa’ad mengharapkan semoga Allah mengganjari pahala kepada adiknya itu.
*       *       *
Dalam peperangan Uhud, tentera muslim goyah dan barisan tentera Islam berpecah meninggalkan Nabi s.a.w. sehingga hanya segelintir masih bersama Baginda s.a.w..  Bilangannya tidak sampai pun sepuluh orang.  Ketika itu Sa’ad bin Abi Waqqash tidak berganjak mempertahan Rasulullah s.a.w. dengan busur panahnya.  Setiap kali beliau memanah, setiap kali jugalah panahannya tepat dan membunuh tentera musyrikin.

Apabila Rasulullah s.a.w. melihat panahan Sa’ad, Baginda terus menyemarakkan semangat Sa’ad:  “Panahlah wahai Sa’ad…  panahlah, Allah menebus kamu dengan ayah dan ibuku.”

Sepanjang hayatnya Sa’ad bin Abi Waqqash terus berbangga dengan kata-katanya:  “Tiada seorang yang Rasulullah sebutkan untuknya kedua-kedua ibu bapa Baginda melainkan kepada saya… iaitu ketika Baginda menebus diriku dengan ibu bapanya.”
*       *       *
Namun Sa’ad bin Abi Waqqash mencapai kemuncak kehebatannya ketika Khalifah al-Faruq, ‘Umar bin al-Khoththob berazam ingin berperang dengan Parsi.  Peperangan yang meruntuhkan kerajaan Parsi, menghancurkan takhta maharajanya dan mencabut keberhalaan hingga ke akar umbi dari muka bumi.  ‘Umar telah menghantar perutusannya kepada para gabenor dan pegawainya di seluruh pelusuk Negara… “Hantarkan kepada saya, mereka yang mempunyai kelengkapan persenjataan dan kuda, mereka yang mampu menyelamat dan mereka yang berpandangan bernas, atau mempunyai keistimewaan berpuisi atau pidato atau keperluan lain yang boleh membantu dalam pertempuran.”

Setelah perutusan itu sampai, berduyun-duyun para pejuang sampai ke Madinah dari segenap pelusuk Negara Islam.  Apabila semua persiapan rapi telah sempurna, Khalifah ‘Umar bermesyuarat dengan anggota al-Halli wa al-Aqdi (Majlis Syura) tentang siapa yang layak dipilih memimpin pasukan tentera yang besar ini.  Jawab mereka serentak:  “Sa’ad bin Abi Waqqash.”

Lalu Khalifah ‘Umar memanggil Sa’ad dan menyerahkan panji-panji tentera kepada beliau.
*       *       *
Apabila tentera Islam telah sedia untuk meninggalkan Madinah, Khalifah Umar bin al-Khoththob memberi pesanan dan mengucapkan selamat jalan kepada Sa’ad bin Abi Waqqash:

“Janganlah kamu terpedaya sehingga kamu ingkar dengan perintah Allah lantaran ada yang memanggil kamu:  “Bapa saudara Rasulullah dan sahabat Rasulullah.”  Kerana Alla Ta’ala tidak akan menghapuskan keburukan dengan keburukan.  Sebaliknya Allah menghapuskan keburukan dengan kebaikan.

“Wahai Sa’ad bin Abi Waqqash, sesungguhnya Allah tiada pertalian dengan sesiapa melainkan ketaatan.  Manusia yang mulia dan hina, semuanya di sisi Allah adalah sama.  Allah adalah Tuhan mereka dan mereka adalah hamba-Nya.  Kelebihan mereka berdasarkan ketakwaan.  Mereka berjaya memperolehi kurniaan dari sisi Allah adalah melalui ketaatan.  Oleh itu amatilah perkara yang kamu lihat Rasulullah pegang.  Komitmenlah dengannya kerana ia merupakan tugas yang mesti dilaksanakan.”

Setelah itu tentera Islam pun berangkat.  Ia turut disertai oleh 99 orang sahabat yang menyertai peperangan Badar, lebih daripada 310 orang sahabat yang sempat bersama Rasulullah selepas Bai’ah Ridhwan, 300 orang sahabat yang menyertai Pembukaan Mekah dan 700 orang anak para sahabat.
*       *       *
Sa’ad bin Abi Waqqash dan tenteranya telah bertempur dengan tentera Parsi di al-Qadisiah.  Ketika hari al-Hariri , tentera Islam telah tekad untuk menumpaskan tentera Parsi.  Mereka mengepung musuh seumpama ikatan yang melilit pergelangan tangan.  Mereka merempuh ke dalam barisan musuh dari segenap penjuru dengan laungan La ilaha illa Allah dan Allahu Akhbar…

Ketika itu kepala Rustum, Panglima Tentera Parsi dijulang dengan tombak tentera Islam…  Rasa gementar dan panic menyelinap ke dalam hati tentera musuh.  Hinggakan apabila tentera Islam menunjuk ke arah tentera Parsi, dia datang menyerah diri untuk dibunuh.  Ada juga yang dibunuh dengan senjata mereka sendiri.

Tentera Islam memperolehi limpahan harta rampasan perang.  Tak perlu teragak-agak untuk menceritakannya.  Manakala yang terbunuh, memadailah kamu ketahui bahawa tentera musuh yang mati lemas mencapai 30 ribu orang.
*       *       *
Sa’ad bin Abi Waqqash telah dipanjangkan usia dan Allah mengurniakannya harta yang banyak.  Namun ketika hampir meninggal dunia, beliau meminta sehelai pakaian bulu yang lusuh.  Katanya:

“Kafankanlah saya dengan pakaian ini.  Kerana saya telah memakainya ketika bertempur dengan musyrikin ketika peperangan Badar…  Oleh itu saya juga ingin bertemu dengan Allah ‘Azza wa jalla dengan pakaian tersebut”.




[1] Hari al-Harir ialah hari terakhir peperangan al-Qadisiah.  Al-Harir bererti bunyi binatang menderam marah.  Hari tersebut dinamakan sedemikian kerana bunyi yang kedengaran ketika itu hanyalah seumpama deraman binatang yang sedang marah lantaran hingar binger perang yang begitu sengit.

*Dipetik dari Buku Kisah 65 Gambaran Sahabat
*Disemak dan disalin semula oleh Haeru Hanna

Wednesday, November 30, 2011

Lemah Lembut Itu Satu Kewajipan


Assalamu'alaikum

Apa yang berlaku kepada sekeliling kita merupakan cerminan atau lantunan daripada apa yang kita hasilkan. Sebagai contoh, jika kita berkasar dengan orang lain, bagaimana orang disekeliling boleh berbaik dengan kita. Namun, tidak pada junjungan kita, Rasullullah S.A.W yang sentiasa berlemah lembut dengan sesiapa sahaja, walaupun orang mencerca, memaki hamun baginda. Kita ikuti kisah di bawah, moga bermanfaat.

Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya.

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat.
Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abubakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu,

Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?
Aisyah RA menjawab,Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja. Apakah Itu?, tanya Abubakar RA. Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada disana, kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abubakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abubakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abubakar RA mulai menyuapinya, sipengemis marah sambil menghardik, Siapakah kamu? Abubakar RA menjawab,Aku orang yang biasa (mendatangi engkau). Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, bantah si pengemis buta itu.

Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku, pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW.

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abubakar RA, dan kemudian berkata, Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia....Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abubakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Sunday, November 27, 2011

Berhala dalam jiwa ~


Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, kita sudahpun memasuki bulan Muharram 1433 Hijrah. Segala puji bagi Pencipta yang sekalian alam yang Maha Pengasih lagi Pemurah kerana kita semua masih lagi berkesempatan menghirup udara di Bumi Allah swt untuk kesekian kalinya.

Berhala.
Jika ditanya, pasti kita akan membayangkan patung-patung serta objek-objek pegun, yang tidak bernyawa yang dipuja-puja serta diagungkan. Jangan lupa, berhala juga adalah sesuatu yang disembah selain Allah swt sama ada dalam bentuk objek atau dalam bentuk unsur.
Ada suatu persoalan disini.

Bagaimana? Bagaimana wujudnya berhala di dalam jiwa?

Mudah. Berhala di dalam jiwa tercipta dan terwujud apabila kita melebihkan perkara lain daripada Allah SWT, sehingga benda lain itu kita rasakan lebih penting daripada Allah SWT, sehingga kita utamakan perkara lain itu daripada Allah SWT.

Maka, secara tidak langsung, ‘berhala’ sudah terwujud di dalam kehidupan kita.

Ketaatan, ketundukan, pengorbanan kita, semuanya kita berikan melebihi apa yang kita berikan kepada Allah SWT. Silap hari bulan, kepada Allah SWT itu langsung tidak kita berikan pun ketaatan, ketundukan dan pengorbanan.

Di titik ini, berhala sudah terwujud hakikatnya.

Walaupun kita mengaku sebagai seorang muslim. Kita bersaksi bahawa TIADA TUHAN LAIN yang patut disembah melainkan ALLAH swt  serta Muhammad saw sebagai pesuruh Allah swt., tetapi ketahuilah sesungguhnya keimanan itu bukan dengan kata-kata sahaja. Ianya apa yang tersemat di dalam hati dan dibuktikan dengan amal.

Maka sekarang, perhatikanlah kehidupan kita. Adakah ada perkara-perkara yang membuatkan kita mengendahkan arahan Allah SWT, meringan-ringankan perintah-Nya dan mendekat-dekatkan kita pada larangan-Nya?

Maka itulah dia berhala kita.

Penangan berhala di dalam jiwa

Kesan mempunyai berhala di dalam jiwa, semestinya semakin jauh daripada Allah SWT. Bagaimana agaknya fokus seorang manusia boleh kekal 100% apabila dia perlu memerhatikan dua perkara yang berbeza?

-        Mendengar lagu-lagu lebih banyak dari mendengar dan membaca Al-Quran. Katanya lagu lebih menghiburkan dan Al-Quran meletihkan. Al-Quran sehari seayat sahaja sudah cukup. Lagu-lagu biar penuh 24 jam.

-          Hukum-hukum Allah kita tinggal. Tak pakai. Katanya ketinggalan zaman, konservatif dan tidak relevan. Hukum-hukum ciptaan manusia kita junjung. Kita kata itulah dia kemodenan.

-         Bekerja dan studi bagai nak rak, hingga perintah-perintah Allah seperti solat  diringan-ringankan. “Ala, solat lambat-lambat tak mengapa.” Dan kadangkala sampai tak solat langsung. Alasannya: “Aiseh, tadi tertidur plak lepas studi” Sedangkan ketika dia mempunyai peluang solat awal, dia tak lakukan solat itu tetapi mengutamakan studinya.

-         Memuja-muja sesuatu melebihi pujaannya kepada Allah SWT. Berzikir kepada Allah tidak pernah, ingat Allah tidak pernah, tetapi artis pujaan, bintang bola sepak, pelakon-penyanyi, itu lebih bersarang dalam jiwanya, lebih diingati, lebih diutamakan. Itu juga adalah berhala-berhala dalam jiwa.

Apabila wujud dua cinta yang berlawanan, salah satu cinta perlu dikorbankan.
Dan manusia sering mengorbankan cinta Allah SWT.
Mereka mengutamakan berhala di dalam jiwa mereka.
Kerana nafsu telah membutakan mata hati mereka.
Apakah kita sebahagian dari mereka?

Runtuhkanlah berhala di dalam jiwa itu


Mudah ceritanya, berhala di dalam jiwa adalah kecintaan-kecintaan kita kepada apa-apa sahaja selain daripada Allah SWT. Bukanlah dikatakan kecintaan kepada anak isteri tak boleh, kecintaan kepada sahabat-sahabat tak boleh, kecintaan kepada ibu bapa itu tidak boleh. Tetapi di sini, kecintaan yang dimaksudkan adalah, apabila kita mengangkat cinta selain daripada Allah itu lebih tinggi.

Kita ambil contoh cinta kepada ibu bapa. Kita perlu taat kepadanya. Tetapi ada had juga ketaatannya. Kita hanya taat pada mereka selagi mana mereka tidak mengarahkan kita melanggar perintah Allah SWT. Dan sebenarnya, kita taat pada ibu bapa kita pun adalah kerana arahan Allah SWT.

Justeru, ketaatan, cinta, pengorbanan, semuanya kita perlu fokuskan kepada Allah SWT. Sebab Allah adalah Ilahi, Tuhan, Rabb kita.

Berhala di dalam jiwa, kita hapuskan dengan ketundukan kita kepada Allah SWT, dan ketaatan kita kepada-Nya.

Dengan meruntuhkan berhala di dalam jiwa ini, barulah kita mampu tunduk kepada Allah SWT dalam keadaan tidak terikat.

Meruntuhkan berhala di dalam jiwa, perlukan mujahadah. Bukan hanya dengan bicara kata semata. Perlukan disiplin dan kekuatan. Justeru, perlulah kita bersabar dalam usaha meruntuhkannya. Perlu juga kita mencari kekuatan-kekuatan yang mampu membina keutuhan ruh agar mampu meruntuhkannya.

Lihatlah kepada Nabi Ibrahim As. Dia menghapuskan berhala kaumnya, dan kemudian dilemparkan ke dalam api. Ironiknya, ketika dia dilempar itu, Jibril AS dihantar untuk menghulurkan pertolongan. Tetapi lihatlah apa yang dikatakan oleh Khalilullah, Ibrahim AS pada saat tubuhnya sedang melayang hendak dimasukkan ke dalam api itu.
“Kalau pertolongan daripada kau wahai Jibril, maka aku tidak memerlukannya. Cukuplah Allah sebagai pemberi pertolongan kepadaku”

Inilah dia, jiwa mukmin yang bersih, langsung ‘rasa perlu’ kepada perkara lain selain Allah tiada di dalam jiwanya. Selain Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala batu dengan tangannya, dia juga telah membersihkan jiwanya dari berhala-berhala yang ada di dalam dirinya.
Allah s.w.t berfirman:
“Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!” …(Surah Al-Anbiya’ ayat 69.)

Dan Allah tidak menghanguskannya di dalam api, bahkan menjadikan api terasa sejuk dan menyelesakan untuk Ibrahim AS. Seakan-akan Allah SWT berkata: “Lihatlah apa yang hambaKu ini perolehi. Inilah dia manusia yang menyembahKu, dan tidak pula menyembah selainKu”

Dan perhatikanlah kebanyakan sabda Rasulullah SAW apabila para sahabat meminta nasihat. Nasihat baginda yang pertama sekali adalah:
“Janganlah kau mensyirikkan Allah dengan apa-apa sekalipun”
Dengan apa-apa sekalipun.

Rasulullah SAW menyuruh kita menghapuskan berhala di dalam kehidupan kita. Berhala yang menganggu hubungan kita dengan Allah SWT.
Justeru, apakah kita menyahutnya?

Sempena tahun baru ini, marilah kita semua beri peluang pada diri sendiri untuk meruntuhkan berhala dalam jiwa, dan berubah ke arah yang lebih baik. InsyaAllah


dipetik daripada : Hilal Asyraf (Batu-Bata Kehidupan)

Saturday, November 26, 2011

Aku Tetap Terus Melangkah


Kisah ini , tak pasti semasa zaman Nabi s.a.w atau para sahabat.

Ada seorang buta yang rajin solat berjemaah di masjid . Ada tali yang dibuat untuk menghubungkan  rumahnya dan masjid. Antara rumah dan masjid adasatu lubang yang berair.

Suatu hari, dia terjatuh kedalam lubang tersebut dan beliau berpatah balik,untuk salin baju yang bersih. Kali kedua, dia terjatuh lagi dan balik semula untuk bersalin baju. Kali ketiga, di rasa nak terjatuh lagi tetapi tiba-tiba ada orang yang menyambut untuk menahannya dari jatuh dan memimpinnya hingga sampai ke masjid. Beliau bertanya kepada orang tersebut,siapakah dia. Orang itu menjawab Aku adalah syaitan.? Orang buta itu terkejut lalu bertanya,kenapa dia menolongnya dari jatuh ke dalam lubang tersebut. Syaitan
menjawab , Aku menolong sebab aku takut dosa orang-orang Islam lain terampun. Ini kerana semasa engkau terjatuh kali pertama, dosamu Allah ampunkan, semasa engkau jatuh kali kedua, seluruh dosa ahli keluargamu diampunkan, dan jika aku biarkan engkau jatuh kali ketiga maka seluruh dosaumat Islam akan terampun. Sebab itu aku menolongmu.?

Lihatlah dan fikirkanlah betapa besarnya pahala orang yang melangkah kemasjid atau surau, itu belum ditambah dengan pahala mengerjakan solat berjemaah. Orang yang butapun sanggup bersusah payah untuk solat berjemaah di masjid, inikan pula kita yang sihat walafiat tanpa ada sebarang halangan kecuali halangan nafsu yang sering memujuk kita untuk terus malas dalam menambah pahala untuk bekalan ke akhirat, kehidupan yang lebih kekal....

Dari Abdullah bin 'Amr r.a, Rasulullah saw 
bersabda :
"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat."

Muhasabahlah diri sendiri (yakni diri saya) sebelum muhasabah diri oranglain.

Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah swt. Apa yang salah dansilap itu adalah dari kelemahan manusia itu 

Soleh Musleh

Wednesday, November 23, 2011

Sedap atau Sihat


Salam 'alaik,

Gaya hidup rakyat Malaysia kini telah menjejaskan gaya pemakanan mereka. Bilangan wanita bekerjaya pula semakin meningkat menyebabkan semakin kurang makanan yang dimasak sendiri disediakan di rumah.

Oleh itu, ramai yang memilih membeli makanan segera kerana cepat dan mudah disediakan. Ini jelas menunjukkan kewujudan restoran makanan segera seperti KFC, Pizza Hut, McDonald dan sebagainya yang tumbuh melata bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.  Namun, adakah ini menunjukkan gaya pemakanan tersebut sihat untuk kesihatan kita?

Makanan yang sedap tidak semestinya sihat. Hal ini kerana kebanyakan makanan yang sedap mengandungi penambah perasa dan bahan pengawet. Kandungan Monosodium Glutamat (MSG) amat berbahaya untuk kesihatan kita. Golongan yang menggunakan MSG sebagai penambah perisa dalam makanan mereka lebih berisiko tinggi berdepan masalah berat badan berlebihan atau obes berbanding mereka yang tidak mengambilnya walaupun melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan kalori sama. Oh.. sungguh ngeri kan?

Kenapa dengan makanan segera? Makanan segera menggunakan bahan pengawet dalam kuantiti yang tinggi kerana ia diproses dan diawet untuk memastikannya tahan lama. Selain itu, kandungan lemak dalam makanan segera juga lebih tinggi berbanding bahan mentah biasa.

Memakan makanan segera dalam kuantiti tidak terkawal akan mendedahkan kita kepada pelbagai jenis risiko seperti kerosakan gigi, sembelit, tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, obesiti dan kenaikan tahap kolesterol.

Orang kata 'kita adalah apa yang kita makan'. Kalau kita orang yang jenis lesu, lemah dan gemuk, kita tengok balik apa yang kita makan sepanjang kita hidup. Berbanding kalau kita jenis orang yang cergas, aktif dan ceria, kita tengok apa yang kita makan semalam dan kelmarin.

Ini dibuktikan apabila kira-kira 90 peratus masalah kesihatan berpunca daripada makanan yang mengakibatkan sistem pertahanan badan menjadi lemah. Badan kita membabitkan kira-kira 60 trilion sel kecil termasuk sel darah, lemak, otot dan kulit. Pengumpulan toksik menyebabkan sel 'demam' dan akhirnya berlaku pelbagai masalah kesihatan. Antara sumber bahan toksik ini ialah makanan berasid, terlalu banyak mengambil ubat moden, terlalu banyak lemak kolesterol.

Bagaimana pula yang dikatakan dengan makanan tidak sedap tetapi sihat? Kita ambil contoh ulaman-ulaman, adakah ulam itu sedap seperti Burger di McD atau ayam KFC? Rasa ulam sangatlah pahit sampaikan ada yang tidak dapat memakannya.

Terdapat lebih daripada 120 jenis ulam tradisional telah dikenal pasti di Malaysia sehingga kini (Muharyani 1987). Antaranya ialah rebung, ulam raja, cekur manis, selom, pegaga, paku rawan, kesom, putat, kacang kelisa dan banyak lagi.

Kita boleh tengok orang-orang tua pada zaman dahulu kebanyakannya hidup dalam tempoh yang lama. Hal ini kerana mereka mengamalkan makan ulam-ulaman. Kebanyakan ulam mengandungi mineral-mineral utama seperti kalsium, fosforus, besi, natrium dan juga mengandungi vitamin-vitamin utama seperti karotena, vitamin A, B dan C. Tidak hairanlah jika ulam-ulaman ini digunakan dalam perubatan tradisional Melayu.

Makanan harian sebenarnya boleh menjadi ubat atau pelindung daripada pelbagai penyakit. Sepertimana Bapa Pakar Perubatan Moden, Hippocrates pernah berkata 'makanan sihat adalah ubat paling baik'. Untuk sihat, pemakanan kita harus mengandungi 80 peratus makanan bersifat alkali dan 20 peratus lagi makanan bersifat asid bagi meningkatkan daya ketahanan badan.

Komposisi makanan yang disarankan untuk kesihatan yang sempurna ialah 60 peratus sayur-sayuran, 20 peratus buah-buahan, 10 peratus sumber karbohidrat dan 10 peratus lagi protein (lebih baik jika protein tumbuh-tumbuhan). Alamak! Rasanya kita jarang mengambil sayur dalam makanan harian kita! Tetapi kita selalu ambil makanan yang mengandungi banyak karbohidrat dan lemak dalam tak sedar kan?.

Sebenarnya, makanan mempunyai dua ciri iaitu positif (menyihatkan badan dan memulihkan penyakit) atau negatif (menyebabkan penyakit). Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO), didapati bahawa pembunuh utama manusia bukannya aids, malaria, kebuluran, kereta atau merokok, tetapi tabiat pemakanan manusia sendiri. Oh, lagilah ngeri!

Namun, jangan kita rasakan dengan memasak sendiri adalah jawapan jalan penyelesaian yang bijak. Pemilihan bahan masakan juga memainkan peranan penting. Adakah anda lebih banyak meletakkan ajinamotto mahupun sedap rasa yang merupakan jalan cepat untuk menjadikan masakan anda sedap. Sedarkah anda, kandungan kedua-dua bahan ini mempunyai kandungan MSG yang agak menakutkan jika diambil dalam masa yang panjang.

Jadi, marilah kita sama-sama mengubah tabiat pemakanan harian kita supaya kita menjadi muslim dan muslimah yang lebih cemerlang. Oleh itu, kita yang berkuasa membuat pilihan yang terbaik, jangan salahkan makanan. Ingat... 'You Are What You Ate'.

Monday, November 21, 2011

Mahasiswa dan Gejala Sosial

Assalamualaikum w.b.t...
Jemputan khas untuk seluruh warga UTMJB :


Siapakah Dr Harlina Siraj?


Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj atau lebih mesra sebagai Dr Har dilahirkan di Sungai Besar, Selangor. Beliau bertugas sebagai pakar perunding Obstetriks & Ginekologi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau juga menjawat jawatan Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Dr Har gemar melakukan khidmat masyarakat dan kerja-kerja sukarelawan selain menumpahkan khidmat sebagai pakar di hospital.

Selain itu, Dr Har pernah muncul di beberapa media. Antaranya sebagai tetamu jemputan di rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Wanita Hari Ini (WHI), Al-Kuliyyah dan Al-Hidayah di TV3, Keluarga di 9, Nasi Lemak Kopi O dan Halaqah di TV9, Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan Fast Forward di RTM, Bersama Linda Onn di Astro. Dr Har juga merupakan panel berkala Wanita Hari Ini di radio IKIM, motivator di radio KL.fm dan kolumnis di majalah ANIQAH, Majalah 'i' dan media lain yang diterbitkan oleh Karangkraf.


 Jangan lepaskan peluang untuk mendengar perkongsian dari Dr. Har....
 Semoga bermanfaat buat kita semua, insyaAllah :)

Islam Agama Nasihat



Abu Roqayah Tamim ad-Dari melaporkan, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda,“Agama adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” Baginda bersabda, “Untuk Allah, kitab-Nya, pemimpin kaum muslimin dan kamu muslimin secara umum.”
(Riwayat Muslim)



Hadis ini termasuk dalam kategori ringkas tetapi padat. Hadis ini sangat penting, kerana mengandungi seluruh agama. Iaitu mengandungi hak Allah, hak rasul-Nya, dan hak hamba-Nya. Kewajipan menunaikan hak-hak tersebut terkandung pada kata nasihat. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan frasa “Agama adalah nasihat” ?

        Erti nasihat di sini adalah bentuk kebaikan yang diberikan demi kebaikan orang yang diberi nasihat. Perumpamaan orang yang berusaha menasihati untuk menyampaikan kebaikan kepada orang yang dinasihati ibarat seseorang yang berusaha menutup cacat yang terdapat pada baju orang lain. Frasa “Agama adalah nasihat” bermaksud nasihat adalah sandaran bagi agama. Sebagaimana kata-kata Rasulullah s.a.w, “ Haji adalah Arafah”. Maksudnya, wukuf  di Arafah adalah kepentingan dan sebahagian besar daripada ibadah haji.
        Mari kita lihat ruang lingkup hadis ini :

Nasihat untuk Allah
Maksudnya, nasihat untuk agamaNya iaitu dengan cara melaksanakan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya serta membenarkan berita yang Dia sampaikan, kembali kepada-Nya dalam apa jua keadaan, bertawakal kepada-Nya, melaksanakan syiar Islam serta syariat-syariat-Nya.

Nasihat untuk kitab-Nya
Beriman bahawa Al-Quran adalah kalamullah, yang mengandungi kisah-kisah yang benar dan bermanfaat serta hukum-hukum yang adil yang wajib menjadi panduan hidup kita sebagai umat Islam.

Nasihat untuk Rasul
Beriman bahawa Rasulullah s.a.w adalah utusan Allah s.w.t. kepada seluruh alam, mencintai, meneladani, serta membenarkan berita yang dibawa, mngikut sunnah baginda serta membela agama yang dibawa oleh baginda.

Nasihat untuk pemimpin kaum muslimin

Nasihat untuk pemimpin adalah menunaikan haknya, seperti, taat dalam hal yang ma’ruf, tidak taat dalam kemaksiatan, tunduk dan tidak membangkang dan lain-lain yang merupakan hak penguasa yang telah dijelaskan dalam kitab dan sunah.

Nasihat untuk kaum muslimin secara umum
Menasihati mereka supaya menyeru kepada kebaikan serta mencegah kenmungkaran, mengajar kebaikan kepada mereka dan seumpamanya. Hakikatnya, kaum muslimin itu termasuklah diri kita sendiri, oleh itu tugas pertama kita adalah untuk menasihati diri sendiri.

“ Abu Bakar as-Siddiq tidak mengungguli sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang lain dengan puasa dan solat. Tetapi, ia mungungguli dengan dengan sesuatu yang ada dihatinya iaitu cinta kerana Allah swt dan nasihat kepada seluruh makhluk-Nya” 
-         Abu Bakar al-Muzani

Alangkah besarnya peranan nasihat dalam agama. Jika kita tidak melakukannya, kita adalah antara orang yang rugi di sisi Allah, sebagaimana dalam firman-Nya :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat-menasihati kepada kebenaran serta nasihat-menasihati kepada kesabaran”
(Surah al-Ashr:1-3)


Sumber : Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, oleh Fahrur Muis & Muhamad Suhadi

Followers