SA’AD BIN ABI WAQQASH
Panahlah wahai Sa’ad… panahlah,
Allah menebus kamu dengan ayah
dan ibuku
[Muhammad s.a.w ketika
Peperangan Uhud].
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu kerjakan. (Luqman: 14-15)
Ayat al-Quran ini mempunyai kisah yang unik dan menarik. Pertarungan antara perasaan yang saling bertentangan dalam jiwa seorang pemuda mentah. Ia merupakan kemenangan kebaikan menewaskan kejahatan. Kejayaan iman menumpaskan kekufuran.
Manakala hero kisah ini adalah antara pemuda yang berketurunan mulia. Ibu bapanya dihormati. Dialah pemuda bernama Sa’ad bin Abi Waqqash r.a..
* * *
Ketika cahaya kenabian terbit menyinari kota Mekah, Sa’ad bin Abi Waqqash masih di usia muda remaja. Beliau memiliki jiwa yang lembut. Sa’ad banyak berbakti dan amat mengasihi kedua ibu bapa terutama ibunya.
Meskipun begitu ketika umurnya mencapai 17 tahun. Beliau memiliki kematangan dan kebijaksanaan orang dewasa dan berpengalaman.
Tidak sebagaimana mereka seusianya yang sibuk dengan berbagai jenis keseronokan, Sa’ad bin Abi Waqqash giat memahirkan dirinya dengan penyediaan dan membaiki panah. Beliau berlatih memanah hinggakan seolah-olah sedang mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan saat-saat genting.
Sa’ad bin Abi Waqqash juga tidak senang dengan kefasadan akidah kaumnya dan situasi sekeliling yang rosak. Hinggakan seolah-olah beliau menunggu-nunggu satu tangan yang perkasa, tegas dan penyayang yang dapat mengubah keadaan tersebut. Tangan yang dapat menyambar dan menyelamatkan mereka daripada kegelapan.
* * *
Ketika beliau berada dalam situasi demikian Allah ‘Azza wa jalla sememangnnya ingin memuliakn seluruh manusia dengan tangan penyelamat ini.
Dia mengutuskan penghulu seluruh makluk Muhammad bin ‘Abdullah s.a.w….
Dalam genggamannya terdapat bintang Ilahi yang tidak akan padam iaitu Kitab Allah yang mulia.
Sa’ad bin Abi Waqqash segera menyahut seruan dakwah hidayah dan kebenaran tersebut. Beliau merupakan lelaki ketiga atau keempat yang memeluk Islam.
Lantaran itu beliau sering mengungkapkan: “Saya hanya menunggu tujuh hari untuk memeluk Islam apabila dakwah bermula. Saya merupakan orang ketiga yang memeluk Islam.”
Rasullullah s.a.w. amat gembira dengan keislaman Sa’ad. Lantaran beliau memiliki cirri-ciri kepintaran dan kejantanan yang menjadi petanda bahawa anak bulan ini akan mengambang penuh pada waktu terdekat.
Sa’ad bin Abi Waqqash berketurunan mulia dan leluhur terhormat. Sesetengah para pemuda Mekah boleh jadi kepingin mengikuti gaya hidupya dan menelusuri tindakannya memeluk Islam.
Lebih daripada itu Sa’ad bin Abi Waqqash merupakan bapa saudara Rasulullah sebelah bonda Baginda. Sa’ad berketurunan Bani Zuhrah dan ia merupakan keluarga kepada Aminah binti Wahb, bonda Nabi s.a.w..
Rasulullah s.a.w. sendiri berbanggan dengan pertalian kekeluargaan tersebut. Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. duduk bersama-sama para sahabatnya. Baginda melihat Sa’ad bin Abi Waqqash datang, lalu Baginda memberitahu: “Ini merupakan bapa saudara saya (sebelah ibu)… maka tunjukkanlah kepda saya siapa bapa saudara (sebelah ibu)nya.”
* * *
Namun keislaman Sa’ad bin Abi Waqqash bukanlah mudah. Pemuda mukmin ini terpaksa berdepan dengan tribulasi keras dan berat. Lantaran terlalu getir tribulasi tersebut, Allah telah menurunkan ayat al-Quran mengenai perkara tersebut…
Mari kita biarkan Sa’ad bin Abi Waqqash sendiri menceritakan pengalaman uniknya ini.
Cerita Sa’ad bin Abi Waqqash: Tiga malam sebelum saya memeluk Islam, saya bermimpi saya lemas dalam kegelapan yang teramat sangat. Ketika terkapai-kapai dalam gelombang kepekatan, tiba-tiba cahaya bulan menyinari saya. Lalu saya mengikuti cahaya tersebut. Saya lihat sekumpulan manusia di hadapan saya telah mendahului saya menuju kea rah bulan tersebut…
Saya melihat Zaid bin Haritsah, ‘Ali bin Abi Tholib, Abu Bakar as-Siddiq…
Lalu saya bertanya kepada mereka: “Sejak bila kamu semua berada di sini?”
Jawab mereka: “Baru sekejap”.
Apabila siang menjelang, saya mendapati berita bahawa Rasulullah s.a.w. menyeru manusia kepada Islam secara sembunyi. Saya tahu bahawa Allah menginginkan kebaikan untuk saya. Dia ingin mengeluarkan saya daripada kegelapan kepada cahaya dengan bantuan Baginda.
Tanpa berlengah lagi saya segera mencari Baginda s.a.w.. Akhirnya saya bertemu Baginda di lorong Jiyad, sebuah lorong bukit di Mekah. Ketika itu Nabi s.a.w. selesai mendirikan sembahyang Asar. Lalu saya memeluk Islam. Tiada yang mendahului saya kecuali mereka yang saya lihat dalam mimpi sebelum ini.
Sa’ad menyambung kisah keislamannya, katanya:
Apabila bonda saya mengetahui keislaman saya, beliau amat marah. Saya sememangnya sentiasa berbakti dan amat menyanyanginya. Beliau datang bertemu saya lalu berkata: “Wahai Sa’ad, agama apa yang kamu anuti ini sehingga kamu meninggalkan agama ibu bapamu? Demi Allah, tinggalkanlah agama barumu ini, atau bonda tidak akan makan dan minum sehingga mati… Hatimu akan hancur luluh dan sedih dengan apa yang berlaku ke atas bonda… Penyesalan akan memakan dirimu disebabkan tindakanmu itu. Orang ramai akan terus mencela kamu sepanjang hayatmu.”
“Jangan bonda bertindak sedemikian. Saya tidak akan meninggalkan agama saya walau apa jua alasannya.”, tegas Sa’ad kepada ibunya berbaur rayuan.
Namun ibu tetap dengan ugutannya. Beliau enggan makan dan minum. Sehingga beberapa hari ibu tidak menjamah secubit makan dan setitis air. Badannya menjadi kurus, bongkok dan lemah longlai.
Saya datang menziarahinya masa demi masa memujuknya agar menjamah sedikit makanan dan minuman. Namun beliau tetap enggan walaupun berkali-kali dipujuk. Malahan beliau terus bersumpah tidak sekali-kali akan makan dan minum sehinggan mati atau saya meninggalkan agama saya.
Apabila saya mendengar ketegaran pendiriannya, walaupun berkali-kali dipujuk, saya nyataka kepadanya: “Wahai bonda, saya amat menyanyangi bonda. Namun cinta saya kepada Allah dan Rasul-Nya lebih lagi berbanding sayang saya kepada bonda… Demi Allah jika bonda memiliki 1000 nyawa dan ia keluar satu demi satu, saya tetap tidak akan meninggalkan agama ini.”
Melihat kepada kesungguhan saya, ibu pun mengalah. Beliau akur dalam terpaksa untuk menjamah makanan dan minuman. Lalu Allah Taala menurunkan firmannya tentang kisah kami ini:
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatnya – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka: dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Luqman: 15)
* * *
Peristiwa keislaman Sa’ad bin Abi Waqqash adalah antara peristiwa yang banyak membawa manfaat dan kebaikan kepada Islam dan penganutnya.
Ketika peperangan Badar, Sa’ad dan adik beliau ‘Umair menampilkan perjuangan yang terbilang. Walaupun ketika itu ‘Umair masih lagi kanak-kanak yang baru meningkat dewasa. Tatkala Rasulullah s.a.w. memeriksa barisan tentera Islam sebelum berlakunya pertempuran, ‘Umair menyembunyikan dirinya di belakang tentera dewasa agar Rasulullah tidak melihatnya. Beliau bimbang akan dikecualikan lantaran factor usianya. Namun Rasulullah terpandang ke arah Umair lalu mengecualikannya. ‘Umair menangis kerana ingin turut serta. Akhirnya hati Rasulullah s.a.w. lembut dan membenarkannya.
Ketika itu Sa’ad mara ke hadapan dan merasa gembira. Beliau menyelempangkan tali pedang di leher ‘Umair lantaran beliau masih kecil. Setelah itu kedua beradik berjihad dengan penuh bersungguh-sungguh di jalan Allah.
Apabila pertempuran tamat, Sa’ad kembali ke Madinah sendirian. Manakala ‘Umair telah syahid di bumi Badar. Sa’ad mengharapkan semoga Allah mengganjari pahala kepada adiknya itu.
* * *
Dalam peperangan Uhud, tentera muslim goyah dan barisan tentera Islam berpecah meninggalkan Nabi s.a.w. sehingga hanya segelintir masih bersama Baginda s.a.w.. Bilangannya tidak sampai pun sepuluh orang. Ketika itu Sa’ad bin Abi Waqqash tidak berganjak mempertahan Rasulullah s.a.w. dengan busur panahnya. Setiap kali beliau memanah, setiap kali jugalah panahannya tepat dan membunuh tentera musyrikin.
Apabila Rasulullah s.a.w. melihat panahan Sa’ad, Baginda terus menyemarakkan semangat Sa’ad: “Panahlah wahai Sa’ad… panahlah, Allah menebus kamu dengan ayah dan ibuku.”
Sepanjang hayatnya Sa’ad bin Abi Waqqash terus berbangga dengan kata-katanya: “Tiada seorang yang Rasulullah sebutkan untuknya kedua-kedua ibu bapa Baginda melainkan kepada saya… iaitu ketika Baginda menebus diriku dengan ibu bapanya.”
* * *
Namun Sa’ad bin Abi Waqqash mencapai kemuncak kehebatannya ketika Khalifah al-Faruq, ‘Umar bin al-Khoththob berazam ingin berperang dengan Parsi. Peperangan yang meruntuhkan kerajaan Parsi, menghancurkan takhta maharajanya dan mencabut keberhalaan hingga ke akar umbi dari muka bumi. ‘Umar telah menghantar perutusannya kepada para gabenor dan pegawainya di seluruh pelusuk Negara… “Hantarkan kepada saya, mereka yang mempunyai kelengkapan persenjataan dan kuda, mereka yang mampu menyelamat dan mereka yang berpandangan bernas, atau mempunyai keistimewaan berpuisi atau pidato atau keperluan lain yang boleh membantu dalam pertempuran.”
Setelah perutusan itu sampai, berduyun-duyun para pejuang sampai ke Madinah dari segenap pelusuk Negara Islam. Apabila semua persiapan rapi telah sempurna, Khalifah ‘Umar bermesyuarat dengan anggota al-Halli wa al-Aqdi (Majlis Syura) tentang siapa yang layak dipilih memimpin pasukan tentera yang besar ini. Jawab mereka serentak: “Sa’ad bin Abi Waqqash.”
Lalu Khalifah ‘Umar memanggil Sa’ad dan menyerahkan panji-panji tentera kepada beliau.
* * *
Apabila tentera Islam telah sedia untuk meninggalkan Madinah, Khalifah Umar bin al-Khoththob memberi pesanan dan mengucapkan selamat jalan kepada Sa’ad bin Abi Waqqash:
“Janganlah kamu terpedaya sehingga kamu ingkar dengan perintah Allah lantaran ada yang memanggil kamu: “Bapa saudara Rasulullah dan sahabat Rasulullah.” Kerana Alla Ta’ala tidak akan menghapuskan keburukan dengan keburukan. Sebaliknya Allah menghapuskan keburukan dengan kebaikan.
“Wahai Sa’ad bin Abi Waqqash, sesungguhnya Allah tiada pertalian dengan sesiapa melainkan ketaatan. Manusia yang mulia dan hina, semuanya di sisi Allah adalah sama. Allah adalah Tuhan mereka dan mereka adalah hamba-Nya. Kelebihan mereka berdasarkan ketakwaan. Mereka berjaya memperolehi kurniaan dari sisi Allah adalah melalui ketaatan. Oleh itu amatilah perkara yang kamu lihat Rasulullah pegang. Komitmenlah dengannya kerana ia merupakan tugas yang mesti dilaksanakan.”
Setelah itu tentera Islam pun berangkat. Ia turut disertai oleh 99 orang sahabat yang menyertai peperangan Badar, lebih daripada 310 orang sahabat yang sempat bersama Rasulullah selepas Bai’ah Ridhwan, 300 orang sahabat yang menyertai Pembukaan Mekah dan 700 orang anak para sahabat.
* * *
Sa’ad bin Abi Waqqash dan tenteranya telah bertempur dengan tentera Parsi di al-Qadisiah. Ketika hari al-Hariri , tentera Islam telah tekad untuk menumpaskan tentera Parsi. Mereka mengepung musuh seumpama ikatan yang melilit pergelangan tangan. Mereka merempuh ke dalam barisan musuh dari segenap penjuru dengan laungan La ilaha illa Allah dan Allahu Akhbar…
Ketika itu kepala Rustum, Panglima Tentera Parsi dijulang dengan tombak tentera Islam… Rasa gementar dan panic menyelinap ke dalam hati tentera musuh. Hinggakan apabila tentera Islam menunjuk ke arah tentera Parsi, dia datang menyerah diri untuk dibunuh. Ada juga yang dibunuh dengan senjata mereka sendiri.
Tentera Islam memperolehi limpahan harta rampasan perang. Tak perlu teragak-agak untuk menceritakannya. Manakala yang terbunuh, memadailah kamu ketahui bahawa tentera musuh yang mati lemas mencapai 30 ribu orang.
* * *
Sa’ad bin Abi Waqqash telah dipanjangkan usia dan Allah mengurniakannya harta yang banyak. Namun ketika hampir meninggal dunia, beliau meminta sehelai pakaian bulu yang lusuh. Katanya:
“Kafankanlah saya dengan pakaian ini. Kerana saya telah memakainya ketika bertempur dengan musyrikin ketika peperangan Badar… Oleh itu saya juga ingin bertemu dengan Allah ‘Azza wa jalla dengan pakaian tersebut”.