WAHSYI BIN HARB
Beliau membunuh manusia terbaik
selepas Muhammad… Beliau juga
membunuh manusia paling jahat
[Sejarawan]
Siapa yang menghiris luka hati Nabi s.a.w. dengan membunuh pakciknya Hamzah bin ‘Abdul Muththolib dalam peperangan Uhud?!
Siapa yang kemudiannya menyembuhkan kelukaan hati orang Islam apabila dia membunuh Musailimah al-Kazzab ketika peperangan al-Yamamah?!
Sesungguhnya orang tersebut ialah Wahsyi bin Harb al-Habsyi. Beliau dikenali dengan Abu Dasmah…
Beliau mempunyai kisah ganas, menyayat hati dan berdarah…
Kamu dengar sendiri daripada beliau kisah sedih hidupnya. Kata Wahsyi:
Saya adalah seorang hamba kepada Jubair bin Muth’im salah seorang pemuka Quraisy.
Pakciknya Thu’aimah telah terbunuh dalam peperangan Badar di tangan Hamzah bin ‘Abdul Muththolib. Dia amat sedih dan bersumpah demi Lata dan ‘Uzza akan membalas dendam untuk pakciknya itu. Dia pasti akan membunuh orang yang membunuh pakciknya… dia menunggu peluang untuk membunuh Hamzah.
* * *
Tidak berapa lama selepas kekalahan di Badar, Quraisy berazam untuk keluar ke Uhud demi menghapuskan Muhammad bin ‘Abdullah. Membalas dendam untuk tentera mereka yang terbunuh di Badar. Lalu mereka menyusun ketumbukan tentera, mengumpul sekutu, menyediakan persiapan dan menyerahkan kepimpinan ketenteraan kepada Abu Sufya bin Harb.
Saya melihat Abu Sufyan menyertakan sama wanita-wanita kenamaan Quraisy yang kematian bapa, anak, adik beradik atau kaum keluarga dalam peristiwa Badar. Tujuannya adalah untuk membakar semangat tentera untuk berperang. Ia juga akan menghalang golongan lelaki lari dari medan tempur. Wanita Quraisy tersebut diketuai oleh isteri Abu Sufyan sendiri, Hindu bin ‘Uthbah.
Bapa, saudara lelaki dan pakciknya, semua terbunuh dalam peperangan Badar…
Apabila tentera Quraisy hampir bertolak ke medan, Jubair bin Muth’im memandang saya dan bertanya: “Wahai Abu Dasmah, adakah kamu mempunyai jalan untuk membebaskan diri daripada penghambaan?”
“Siapa saya untuk membebaskan diri.”, jawab saya.
“Saya boleh tunjukkan jalannya.”, celah Jubair pantas.
“Bagaimanan…?!”, tanya saya.
“Jika kamu berjaya membunuh Hamzah bin ‘Abdul Muththolib pakcik Muhammad yang telah membunuh pakcik saya Tu’aimah bin ‘Adi, kamu saya merdekakan.”, jelas Jubair.
“Siapa lagi yang boleh menjamin penunaian janji tersebut?”, tanya saya lagi.
“Sesiapa sahaja yang kamu pilih. Saya akan memberi pernyaksian tentang perkara tersebut di hadapan orang ramai.”, jawab Jubair meyakinkan saya.
“Saya akan laksanakan…”, tegas saya.
Cerita Wahsyi lagi:
Saya merupakan seorang lelaki berbangsa Habsyah yang mahir merejam lembing. Setiap rejaman saya tidak pernah tersasar.
Lalu saya mengambil lembing saya dan berangkat bersama-sama tentera Quraisy. Saya berjalan di belakang, hampir dengan kumpulan wanita. Saya tidak bermaksud ingin terjun ke medan berperang…
Apabila saya melintasi berhampiran Hind, isteri Abu Sufyan, dia ternampak tombak saya berkilau di tangan terkena cahaya matahari. Dia berkata kepada saya: “Wahai Abu Dasmah, ubatilah hati kami yang luka…”
Apabila kami tiba di medan Uhud, pertempuran sengit pun tercetus. Saya keluar mencari Hamzah bin ‘Abdul Muththolib. Saya memang mengenalinya sebelum ini lagi. Tidak seorang pun yang tidak mengenali Hamzah lantaran beliau menyisipkan bulu burung unta di kepalanya tanda kepahlawanan. Cara ini dilakukan oleh para pahlawan perkasa Arab.
Tidak beberapa ketika, saya ternampak Hamzah berteriak di tengah-tengah kecamuk pertempuran. Beliau bagaikan seekor unta yang gagah. Beliau menetak tentera musuh dengan pedangnya. Tiada yang bertahan di hadapannya. Tiada yang mampu teguh menentangnya…
Saya bersiap sedia untuk menyerang hendapnya. Saya berlindung di sebalik pokok dan batu menanti beliau datang hampir kepada saya. Tiba-tiba salah seornag pahlawan berkuda Quraisy bernama Siba’ bin ‘Abdul Uzza mencabar beliau: “Mari bertarung dengan saya…”
Hamzah mara ke arahnya seraya berkata: “Ayuh ke sini wahai anak si kafir… mari ke sini…”
Sepantas kilat Hamzah menyerbu dan memancung Siba’ dengan pedangnya. Siba’ jatuh tersungkur ke bumi berlumuran darah.
Ketika itu saya berdiri di kedudukan yang cukup sesuai menghadapi Hamzah. Saya mensasarkan tombak saya tepat ke arahnya. Saya rejam ke arahnya. Ia mengenai bawah perutnya dan tembus antara dua kakinya.
Beliau melangkah lemah ke arah saya. Selepas dua langkah beliau jatuh tersungkur. Tombak saya masih lagi tertusuk di badannya. Saya biarkan sehingga saya yakin beliau telah mati. Kemudian saya pergi kepadanya dan mencabut tombak tersebut dan kembali ke khemah. Saya duduk dalam khemah kerana saya tiada urusan lain lagi. Sesungguhnya saya membunuhnya untuk memerdekakan diri saya…
* * *
Pertempuran bertambah sengit. Mara dan undur silih berganti. Namun kekalahan berputar menimpa para sahabat Muhammad. Ramai kalangan mereka yang terbunuh.
Ketika itu Hind binti ‘Utbah segera mendapatkan mayat-mayat tentera Islam. Dia diikuti sekumpulan wanita. Dia mengelar, membelah perut, mengorek mata, memotong hidung dan telinga mayat tentera Islam…
Kemudian Hind menjadikan hidung dan telinga yang dipotong sebagai kalung dan subang. Dia menanggalkan kalung dan subang emasnya lalu memberi kepada saya.
“Ini untuk kamu wahai Abu Dasmah… ini untuk kamu…”, kata Hind riang.
“Simpanlah kerana harganya amat mahal.”
Apabila pertempuran di Uhud reda dan tamat. Saya kembali ke Mekah bersama tentera Quraisy. Jubair bin Muth’im memerdekakan saya sebagaimana yang dijanjikannya. Saya pun menjadi seorang lelaki yang merdeka.
* * *
Namun dakwah Muhammad semakin hari semakin subur berkembang. Bilangan orang Islam semakin hari semakin bertambah. Semakin berkembangnya dakwah Muhammad bermakna semakin bertambahlah kerunsingan saya. Saya semakin diselubungi ketakutan, kebimbangan dan kerunsingan.
Situasi diri saya ini terus berlarutan sehinggalah Muhammad dan tenteranya masuk membuka kota Mekah. Ketika itu saya melarikan diri ke Thoif mencari perlindungan.
Namun tidak berapa lama ramai penduduk Thoif cenderung terhadap Islam. Mereka mempersiapkan rombongan untuk bertemu Muhammad dan mengisytiharkan keislaman mereka.
Ketika itu saya semakin menyesal dan bingung. Bumi saya rasa semakin sempit. Jalan semakin buntu dan terhalang. Saya berkata di dalam hati: “Apa kata saya pergi ke Syam, Yaman atau ke negeri-negeri lain.”
Demi Allah, sedang saya dalam keadaan kebingungan, seorang lelaki menenangkan saya. Beliau menasihatkan saya: “Kesiannya kamu wahai Wahsyi, ketahuilah demi Allah bahawa Muhammad tidak membunuh sesiapa yang memeluk agamanya dan mengucapkan dua kalimah syahadah.”
Apabila saya mendengar sahaja kata-kata lelaki tersebut, saya terus keluar menuju ke Yatsrib untuk bertemu Muhammad. Setelah sampai di sana meninjaunya. Saya mendapat tahu Baginda berada di masjid…
Lalu saya masuk bertemunya segera tetapi berwaspada. Saya menuju ke arahnya hingga benar-benar berdiri di hadapannya.
Saya mengucapkan: (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah Ta’ala dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah pesuruh Allah.)
Apabila Baginda mendengar sahaja dua kalimah syahadah saya, Baginda terus mengangkatkan kepala memandang saya. Setelah mengecam muka saya Baginda terus berpaling dan bertanya: “Adakah kamu bernama Wahsyi!!?”
“Ya Rasulullah.”. jawab saya.
“Duduk dan ceritakan kepada saya bagaimana kamu membunuh Hamzah.”, perintah Nabi s.a.w..
Saya pun duduk dan menceritakan kepadanya peristiwa tersebut.
Apabila saya habis menceritakan kepadanya, Baginda memalingkan mukanya daripada saya seraya berkat: “Teruknya kamu wahai Wahsyi. Jangan kamu tunjukkan mukamu kepada saya. Sejak hari ini saya tidak mahu lagi melihat wajah kamu…”
Maka sejak hari tersebut saya menjatuhkan diri saya daripada dilihat oleh Rasulullah s.a.w.. Apabila para sahabat duduk berhadap dengan Nabi s.a.w., saya akan mengambil tempat di belakangnya.
Situasi ini berlaku sehingga Nabi s.a.w. diambil kembali bertemu Tuhannya.
* * *
Beliau menyambung ceritanya lagi:
Meskipun saya mengetahui bahawa Islam menghapuskan semua dosa yang dilakukan sebelum menganut Islam, saya tetap merasakan padah jenayah saya tersebut dan kesan buruk tindakan saya tersebut itu kepada Islam. Oleh itu saya ternanti-nanti waktu dan ketikanya untuk menebus kesalahan saya yang lalu.
* * *
Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, khilafah Islam diterajui oleh sahabatnya Abu Bakar as-Shiddiq. Ketika it Bani Hanifah penyoking Musailimah telah murtad. Khalifah Abu Bakar mempersiapkan angkatan tentera untuk memerangi Musailimah dan mengembalikan kaumnya Bani Hanifah kepada agama Islam.
Saya berkata kepada diri saya: “Demi Allah, inilah peluang kamu wahai Wahsyi. Rebutlah peluang ini. Jangan biarkan ia terlepas.”
Saya pun keluar bersama tentera Islam. Saya mengambil tombok yang telah saya gunakan untuk membunuh Hamzah. Saya bersumpah kepada diri saya sendiri bahawa saya akan membunuh Musailimah atau saya sendiri mati syahid.
Apabila tentera Islam menyerbu dan bertempur dengan tentera Musailimah yang berkubu di ‘hadiqah al-Maut’,[1] saya mengintip Musailimah. Saya lihat beliau berdiri dengan pedang terhunus. Saya perasan ada seorang lelaki Anshor turut mengintip kedudukan Musailimah sebagaimana saya. Kami sama-sama ingin membunuhnya…
Tatkala saya berada di tempat yang sesuai, saya mengacukan tombak saya ke arahnya. Setelah tombak tersebut kejap dalam genggaman saya, saya rejam ke arahnya. Tombak tersebut tepat mengenai Musailimah…
Pada waktu yang sama ketika saya merejam tombok tersebut, lelaki Anshor tadi melompat ke arah Musailimah dan menetaknya dengan pedang…
Hanya Tuhanmu yang Maha Mengetahui siapa sebenarnya yang membunuh Musailimah.
Jika saya yang membunuhnya, saya telah membunuh manusia terbaik selepas Muhammad… Saya juga membunuh manusis paling jahat…
[1] Iaitu kebun tempat perlindungan Musailimah dan pengikutnya. Dinamakan sedemikian lantaran ramai orang murtad mati terbunuh dalam kebun tersebut.
1 comments:
Salam..
Artikel yang baik. Cuma jika tidak keberatan, ambillah sedikit masa untuk mengkaji sama ada benar Rasulullah SAW bertindak memalingkan muka dan terus tidak bertegur siapa setelah mengetahui Wahsyi selaku pembunuh Hamzah RA.
Baru-baru ini, khatib solat jumaat di sebuah masjid di Kelana Jaya, Selangor ada membicarakan tentang kisah ini dan membuat kesimpulan bahawa kisah Rasullullah SAW memalingkan dirinya terus daripada Wahsyi adalah tidak benar dan kisah berkkenaan hanya bersandarkan kepada nas-nas atau hadith yang palsu. Rasionalnya adalah bagaimana Rasulullah SAW selaku insan yang maksum dan memang bersifat seorang pemaaf sanggup untuk berbuat demikian. Perlakuan Wahsyi dilakukan beliau sebelum mengenal cahaya keimanan dan mustahil Rasulullah SAW akan bersikap demikian.
Saya bersetuju dengan pandangan khatib berkenaan. Cerita-cerita tauladan begini amat memberi kesan kepada kita terutamanya semasa kita masih kecil. Saban hari didendangkan dengan pelbagai kisah sirah nabi. Apa yang membezakan kini setelah mempunyai pelbagai sumber, tidak salah untuk kita menyelidik sedikit berpandukan hadith dan nas-nas yang sahih untuk mengetahui kebenaran sesebuah cerita itu.
Post a Comment