Assalamualaikum sebagai permulaan qalam untuk pertemuan kita pada edisi Ramadhan kali ini. Alhamdulillah, akhirnya doa kita pada ramadhan yang lalu telah termakbul di mana kita memohon untuk di sampaikan pada ramadhan pada tahun ini. Oleh sebab itu, jangan terdetik di dalam qalbu kita unntuk menafikan pemakbulan doa daripada Allah. Di dalam edisi ini, kami akan memberikan sedikit sebanyak info-info yang berguna kepada rakan-rakan mahasiswa mengenai bulan Ramadhan.
Pertama-tamanya, ingin saya memetik sepotong ayat daripada al-quran yang berbunyi: “Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang benar dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah…(hingga akhir ayat) ”(QS 2:185). Jelas di sini kita melihat bahawa Allah sendiri memberikan kemuliaan kepada bulan Ramadhan dan antara sebabnya ialah pada bulan inilah al-quran mula diwahyukan kepada baginda ar-Rasul saw (Nuzul Al-Quran) dan pada bulan ini jugalah berlakunya malam Lailatul Qadr yang mana ia memberikan kelebihan yang berlipat ganda melebihi 1000 tahun.
Bulan ini jugalah berlaku peperangan pertama dalam seerah Islam iaitu Ghazwah Badr yang telah memberi kemenangan walaupun hanya disertai oleh 300 mujahidin dengan bantuan yang kita tidak sangkakan iaitu para malaikat. Ramai yang mengatakan ini adalah bulan tarbiyah yang mana mendidik jiwa dan rohani agar sentiasa patuh dan taat kepada syariat yang telah termaktub di dalam al-quran. Saya teringat dengan satu hadis yang berbunyi “Barang siapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh keinsafan (penghitungan), diampunkan baginya apa yang telah terdahulu dari dosanya”. Ketahuilah bahawa jalan penyelesaian sudah ada di hadapan kita dan hanya kita yang perlu memilih jalan-jalannya.
Sekian.
0 comments:
Post a Comment