Badannya yang kurus menampakkan tulang rangkanya yang kecil. Matanya hampir tertutup. Jalannya seolah-olah merangkak. Dia sakit barangkali. Saya memegangnya perlahan-lahan. Dia menjilat-jilat seperti kelaparan.
“Kita ambil?” tanya anak lelaki saya.
“Boleh. Kesian,” jawab saya.
Saya dengan anak lelaki yang seorang ini memang “ngam”.
“Tapi nanti ummi”
“Tak apa, ayah akan terangkan. Kita ambil. Cepat”
Anak kucing berwarna keperang-perangan itu terus didakapnya
Tiba-tiba dari celah meja pasar itu muncul seekor kucing betina dan seekor anaknya. Daripada rupanya saya tahu bahawa itulah ibu anak kucing yang sedang dalam dakapan anak lelaki saya.
“Ayah, itu ibu dialah” tunjuk anak saya
Saya mengangguk. Hati mula berbelah bagi, hendak saya ambil atau tinggalkan semula anak kucing tersebut. Saya renung ibu kucing yang uzur itu. Badannya menggeleber. Matanya hampir tertutup. Sakit juga barangkali. Juga pada anak kucing yang di sebelahnya... Warnanya juga perang , mungkin ‘saudara’ anak kucing perang yang dalam dakapan anak saya.
Macam mana ayah? Tanya anak saya minta kepastian . saya terdiam. Berfikir, merenung dan menimbang-nimbang. Isteri di rumah tentu keberatan kerana itu bukan kali pertama kami membawa anak kucing pulang. Di rumah pun telah ada 5 ekor anak kucung apabila “Ugly” ibu kucing kami beranak sebulan yang lalu. Muka isteri saya mesti berkerut. Bukan benci tetapi isteri saya merungut justeru sukarnya menjaga makan minum dan “kencing berak” kucing-kucing yang sedia ada. Itu tak termasuk kucing “PATI” yang selalu bertandang di hadapan rumah kami. Namun, tubuh kurus dan mata daif kucing itu seolah-olah merayu saya.
“Ambil” kata saya pendek. Ana lelaki saya patuh. Kucing itu terus didukungnya dan dibawa ke dalam kereta.
“Kenapa tak pilih anak kucing yang satu lagi tu?”
“Kita terpaksa pilih. Biarlah seekor itu ibu dia yang jaga. Yang ini kita jaga”
“Kenapa pula kita pilih yang ini?”
Banyak pula soal anak saya. Tapi betul juga. Kenapa yang seekor ini menjadi pilihan, bukan yang seekor lagi. Sebenarnya saya sudah ada jawapannya. Telah saya fikirkan sebelum membuat keputusan tadi.
"Yang ini lebih kurus. Lebih sakit dan lebih lemah. Yang seekor tadi itu lebih sihat. Biar emak dia jaga. Kita boleh jaga dia lebih baik daripada emaknya. Rumah kita banyak makanan. Di rumah pun banyak tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Di pasar ini, sudah banyak pula kucing-kucing yang lain. Nanti, kucing yang lemah ini mati."
Sesampai kami di rumah dia mula sibuk. Disiapkan susu panas, disediakan makanan berzat khusus anak kucing. Isteri yang pada awalnya masam kini pun turut sibuk menyediakan tempat ‘Si Comel’ (nama yang baru kami berikan) tidur. Anak-anak yang lain sibuk mengalih sangkar kucing lebih ke dalam rumah untuk mengelakkan tiupan angin dan bahang panas cahaya matahari. Pendek kata, semua ahli keluarga kami sibuk dalam “operasi” menyelamat Si Comel.
Kucing-kucing lain hilang keistimewaan. ‘Ugly’ dipindahkan ke sangkar kelas dua bersama-sama anak-anaknya. Keutamaan diberi kepada Si Comel kerana keadaan kesihatannya yang daif dan lemah. Setelah semuanya berusaha kami yakin si Comel akan berjaya diselamatkan. Nasibnya tentu lebih baik daripada “saudara” kandungnya yang dipelihara oleh ibunya yang juga daif. Esok, saya pergi ke tempat kerja dengan riang sambil merenung Si Comel di dalam sangkar. Dia hampir pasti selamat, insya-ALLAH, begitu bisik hati saya.
Sehari, dua hari, tiga hari.... Si Comel masih begitu-bgeitu juga. Matanya masih tertutup. Badannya, masih tidak ada perubahan. Pukul 2 petang hari ke-4, tiba-tiba telefon bimbit berbunyi, anak saya memberi salam dan terus menangis.. Si Comel mati! Saya meneruskan kerja dan apabila saya balik, sangkar istimewa Si Comel kembali dihuni oleh 'Ugly' dan anak-anaknya.
Agak-agak ayah, sudara si Comel mati juga ke? Tanya anak saya setelah seminggu berlalu kematian Si Comel.
"Di rumah yang begini mewah dengan makanan kucing pun Si Comel mati apalagi saudaranya yang tinggal di pasar... Ayah rasa mati juga."
"Betul ke ayah?"
Saya terusik dengan pertanyaan anak saya itu. Ingin juga saya pastikan.
Kesibukan bekerja di luar kawasan menyebabkan rasa ingin tahu itu terpendam . lagipun anak saya sudah mula sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan. Dua bulan berlalu. Suatu hari saya pergi ke pasar itu seperti biasa. Anak yang sama mengikut. Isteri sudah menyelinap di sebalik kesibukan manusia membeli belah. Saya dan anak berjalan-jalan di tepi gerai sayur.
"Ayah, ayah!" Panggilan anak saya tiba-tiba mengejutkan.
"Kenapa?"
"Tengok tu"... katanya sambil menunjuk ke suatu arah.
Kelihatan anak kucing saudara Si Comel berlari-lari riang bersama ibunya. Badannya telah segar, sihat dan gemuk. Begitu juga si ibu, kelihatan lebih ceria dan aktif.
"Ayah betullah ini saudara si comel" , kata anak saya sambil mendukung anak kucing itu,
Saya diam. Rasa malu, menyesal dan bersalah.
"Dia tak mati pun ayah?" kata anak saya seakan berbisik.
Kata-katanya tambah menghiris hati saya. Ternyata, keputusan saaya memisahkan si comel dengan saudara dan ibunya adalah salah.
"Nak tahu kenapa ayah bersalah?" akui saya dalam perjalanan pulang dari pasar.
Anak saya diam. Mungkin dia masih mencari-cari jawapan.
"Ayah bersalah kerana memutuskan kasih Si Comel dengan ibunya. Ayah rasa si comel boleh sihat kembali hanya dengan makanan dan perlindungan. Ayah lupa, binatang pun perlukan kasih saying daripada ibunya."
"Ingat tu, kasih ibu tidak boleh ditukar ganti"... tiba-tiba isteri saya mencelah.
Saya termenung. Itu baru anak kucing... bagaimana manusia yang diputuskan kasih dengan ibunya? pasti derita.
"Ayah juga banyak belajar daripada kesalahan ini. Ayah akan sentiasa menyayangi ummi." kata saya sambil berpaling kepada isteri.
"Jadi, bagaimana dengan saya?" pintas anak saya.
"Yalah, ini bab kasih saying antara ibu dengan anak, bukan antara suami dan isteri," balas isteri sambil menyokong anak kesayangannya.
"Ini kasih tiga segi namanya."
"Kasih tiga segi?" tanya kedua-duanya hampir serentak.
"Ingat hadiah terbaik seorang bapa kepada anaknya ialah mencintai ibu anak tersebut... siapa lagi kalau bukan isterinya!"
Mereka berdua tersenyum. Tetapi hati saya masih diburu rasa bersalah, memisahkan Si Comel dengan ibunya!
Angkuhnya diri, apabila merasa boleh menggantikan kasih seorang ibu. Hakikatnya saya tidak layak menjadi pengganti ibu.. sekalipun ibu seekor kucing!
Petikan daripada buku Nota Seorang Lelaki
Pahrol Mohd. Juoi
0 comments:
Post a Comment