Blogroll


ShoutMix chat widget

Tuesday, February 16, 2010

Murtad sambut hari kekasih mirip agama Kristian


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Umat Islam yang meraikan Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, hukum itu boleh jatuh kepada mereka berdasarkan sebuah hadis sahih yang menyebut bahawa:

``Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka ia turut termasuk bersama golongan tersebut.''

Beliau berkata, perbuatan meraikan hari berkenaan juga akan menjadi lebih bercanggah dengan ajaran Islam terutamanya apabila ia dikaitkan sebagai usaha untuk memperingati kematian seorang paderi yang dibunuh seperti mengikut sejarah purba Rom.

``Kita umat Islam tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan agama kita. Lagipun ajaran Islam sudah lengkap, sempurna dan diyakini,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas sikap umat Islam di negara ini khususnya muda-mudi yang masih cenderung untuk meraikan Hari Memperingati Kekasih setiap kali muncul 14 Februari biarpun telah banyak penerangan disampaikan oleh para ulama.

Mengikut sejarah mitos, sambutan berkenaan diasaskan oleh masyarakat Rom yang beragama Kristian sebagai memperingati peristiwa seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II.

Saint Valentine dihukum bunuh kerana mengahwinkan salah seorang askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin atau berkeluarga sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Hari ini budaya Valentine menganjurkan orang ramai menghantar kad ucapan Valentine kepada buah hati mereka, teman karib dan orang-orang yang mereka sayangi sebagai simbolik dalam menyatakan cinta terhadap mereka.

Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis menganggap 14 Februari sebagai `hari burung-burung mencari pasangan mereka.'

Pada kurun ke-14 dan ke-15 mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut.

Masing-masing akan mengucapkan `Selamat Hari Valentine' sesama pasangan mereka.

Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis From Your Valentine kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.

Harussani turut menyeru umat Islam agar tidak sesekali meniru budaya asing dan ternyata bercanggah itu apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan.

``Mengapa kita perlu mengamalkannya sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala.

``Bahkan jika kita tidak bertegur sapa dengan saudara se-Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya sudahpun jatuh haram. Jadi amalan atau budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik,'' kata beliau.

Menurut Harussani, Islam turut menggalakkan umatnya mengasihi sesama mereka secara ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka.

``Berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia,'' kata beliau.


UTUSAN ONLINE (ARKIB: 12/02/2004)

0 comments:

Followers